Kisah
Lima Perkara Aneh
Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh
yang masyur. Suatu ketika dia pernah
berkata, ayahku menceritakan bahwa antara
Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang
hanya mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu
melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi,
"Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke
barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka
makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan
engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari
rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah
bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku
diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang
mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu
dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu
mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun
mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis
bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'. Kemudian Nabi itu meneruskan
perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas.
Dia teringat akan arahan mimpinya supaya
disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan
mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar
semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah
melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa
disadari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia
ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia
ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian
terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah
aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun
mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu,
lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata,
"Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi
tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."
Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya
yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk
menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat
keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya
dan diberikan kepada helang itu.Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang
dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya.
Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya,
maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang
menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka
kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia
berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana
yang diberitahu di dalam mimpiku, maka
jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah
S.W.T. bahwa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya
nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal
serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan,
maka ia tetap akan nampak jua.
Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka
janganlah kamu khianat kepadanya.
Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka
usahakanlah untuknya demi membantu
kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima;
bau yang busuk itu ialah ghibah
(menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari
orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah
kita semaikan dalam diri kita, sebab
kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku
dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap
hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang
itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita
ingat bahwa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita,
sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan
terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya.
Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya
pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."
Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala
orang yang mengata-ngata tentang dirimu."
Dengan ini haruslah kita sedar bahwa walaupun apa
yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri
kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun
ia benar.
0 Komentar